KUALA LUMPUR: Kabinet membuat keputusan untuk membenarkan dan memperbaharui visa dan permit kepada sami Hindu, pemuzik dan pengukir kuil Hindu dari India.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata isu itu sudah dibawa ke perhatian Kabinet dan diluluskan dalam mesyuarat minggu lalu.
“Jemaah Menteri bersetuju untuk meneruskan perkhidmatan mereka di negara ini dan untuk kategori khas saja,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, hari ini.
Subramaniam yang juga Setiausaha Agung MIC berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi Hindu dan Sikh secepat mungkin untuk membincangkan mengenai jenis kategori yang dipersetujui itu serta garis panduan yang bakal ditetapkan.
Katanya, beliau juga akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar dan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Mohd Shafie Apdal mengenai pelaksanaan keputusan itu.
Beliau berkata, Kabinet mahu usaha melatih rakyat tempatan untuk mengambil alih tugas itu untuk tempoh jangka masa panjang dilakukan supaya pergantungan terhadap sami, pemuzik dan pengukir dari negara asing dapat dikurangkan. - Bernama
No comments:
Post a Comment