KUALA LUMPUR 7 Julai - Krisis dalaman MIC semakin meruncing apabila bekas Ketua Penerangan Pemudanya, K. Raja Kumar dan bekas Ketua Pemuda Kuala Selangor, L. Sivasubramaniam memfailkan saman pemula terhadap parti itu.
Saman pemula tersebut bertujuan mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa ahli Pemuda MIC yang dipilih ke Majlis Tertinggi Pemuda MIC Kebangsaan melalui pemilihan pada bulan Mei 2006 dibenar menamatkan tempoh jawatan mereka yang hanya akan berakhir selepas tiga tahun dari tarikh pelantikan.
Mereka memohon pengisytiharan bahawa had umur yang termaktub dalam Artikel 4.18.3 Perlembagaan MIC tidak terpakai kepada penamatan mana-mana jawatan yang dilantik secara sah dan penyandang sebelum seseorang Pemuda MIC mencapai umur 41 tahun.
Mereka juga memohon pengisytiharan bahawa keputusan Jawatankuasa Kerja Pusat MIC pada 12 Jun lalu yang memutuskan Ahli Majlis Pemuda MIC Peringkat Cawangan, Bahagian dan Kebangsaan secara automatik dilucutkan jawatan masing-masing apabila mencapai umur 41 tahun adalah terbatal dan tidak sah.
Selain itu, mereka memohon pengisytiharan bahawa perlucutan jawatan Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, S.A. Vigneswaran, adalah terbatal dan tidak sah kerana beliau dipilih sebelum mencapai umur 41 tahun dan tidak terikat kepada mana-mana had umur menurut Perlembagaan MIC.
Saman pemula itu difailkan di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini, melalui peguam George Varughese dari Tetuan George Varughese & Co.
No comments:
Post a Comment