Tuesday, July 8, 2008

Jangan ikut emosi - Saravanan

KAMPUNG PANDAN 6 Julai - Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M. Saravanan meminta penduduk di Indian Settlement Kampung Pandan bersabar dan tidak terlalu mengikut emosi dalam isu perpindahan yang diarahkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Malah, beliau memberi amaran kepada penduduk terbabit supaya tidak mengugut serta mencabarnya dengan mengadakan demonstrasi, seolah-olah beliau tidak berusaha untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

Bercakap di hadapan 500 penduduk terbabit yang berkumpul di Dewan MIC di sini baru-baru ini, beliau menggesa penduduk menggunakan saluran yang betul bagi mengadu masalah mereka.

"Isu ini tidak perlu dibesar-besarkan kerana saya selaku Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Ketua Penerangan MIC sedang memujuk pihak DBKL agar menangguhkan sementara perancangan pemindahan penduduk Indian Settlement.

"Saya memahami masalah penduduk di sini kerana sebelum ini saya sendiri pernah tinggal di perumahan setinggan Jalan Raja Muda berhampiran Hospital Besar Kuala Lumpur,'' katanya.

Saravanan berkata, beliau juga sebenarnya kurang bersetuju penduduk di situ dipindahkan ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, Puchong memandangkan mereka telah lama tinggal di Kampung Pandan.

"Memandangkan kos sara hidup pun sudah bertambah tinggi, saya berpendapat tempat yang sesuai untuk mereka berpindah ialah di PPR Seri Alam, Sungai Besi,'' katanya.

Walaupun begitu, beliau tetap menyimpan harapan agar kawasan tersebut boleh dikekalkan sebagai penempatan kaum India seperti yang dinikmati oleh orang Melayu di Kampung Baru.

"Saya akan cuba menjadikan kawasan ini sebagai penempatan kaum India kerana mereka semua telah tinggal di sini lebih 30 tahun, namun ia bergantung kepada hasil perbincangan dengan pihak atasan,'' katanya dalam pertemuan itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo'Lo' Mohd. Ghazali yang turut menghadiri pertemuan tersebut, berpuas hati dengan hasil perjumpaan itu.

Baginya, kerjasama positif yang ditunjukkan oleh Saravanan dalam menyelesaikan masalah penduduk tanpa melibatkan sentimen politik amat dihargai.

Selain itu, beliau berpendapat isu berkenaan masih boleh diperbincangkan ke peringkat tertinggi kerana Draf Pelan Kuala Lumpur 2020 masih dalam peringkat bantahan dan segala perancangan pembangunan masih boleh ditangguh atau dipinda.

No comments: