Saturday, August 9, 2008

MIC mahu pembangunan ambil kira semua kaum

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Pembangunan di bawah Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur (KLCP) 2020 yang dirangka oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu dilaksanakan secara adil dan saksama kepada semua kaum.

Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, pihaknya mahu pembangunan di sesebuah kawasan itu menyediakan kemudahan untuk semua kaum memandangkan ibu negara didiami oleh pelbagai kaum.

Menurutnya, perancangan tersebut juga perlu menyediakan maklumat serta laporan terperinci bagi memudahkan orang ramai memahami segala pelan yang dirancangkan di kawasan mereka.

Sehubungan itu, katanya, banyak kajian perlu dijalankan sebelum KLCP 2020 boleh diwarta dan dilaksanakan kerana terdapat banyak bantahan terhadap pelan tersebut.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat kali ketiga KLCP 2020bersama pemimpin-pemimpin MIC di ibu pejabat parti itu di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M. Saravanan dan Naib Presiden MIC, Datuk S. Sothinathan.

Samy Vellu berkata, pada mesyuarat itu, terdapat beberapa perkara yang dibangkitkan terutama mengenai kuil, perumahan kos rendah serta sekolah Tamil.

"Satu laporan akan dibuat dan akan dibentang kepada DBKL sebelum 31 Ogos ini bagi membolehkan DBKL mempertimbangkan semula perancangan di bawah KLCP 2020," katanya.

Dalam mesyuarat tersebut, beberapa agenda dibincangkan iaitu mengenai tanah simpanan bagi sekolah Tamil, pembinaan kemudahan rumah ibadat, tanah perkuburan serta kawasan lapang.

Mengenai rungutan seorang penduduk tentang ketiadaan dokumen KLCP 2020 untuk dijadikan rujukan, Samy Vellu berkata, dokumen itu tidak boleh diberikan kepada semua orang kerana harganya mencecah RM300 sebuah.

Justeru, beliau menyarankan masyarakat India supaya hadir ke ibu pejabat MIC di Jalan Ipoh di sini bagi mendapatkan maklumat lanjut tentang pembangunan yang akan dilaksanakan di atas kawasan mereka.

No comments: