Sunday, September 14, 2008

TINDAKAN ISA WAJAR

MY EXPRESSION :ISA : WE NEED or/and DON'T NEED........


KUALA LUMPUR 13 Sept. - Tindakan polis menahan tiga individu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semalam dilakukan secara profesional tanpa campur tangan politik.

Malah tindakan itu dibuat setelah polis mempunyai cukup bukti bahawa jika langkah itu tidak diambil ia boleh mencetuskan ketegangan kaum dan mengancam keselamatan negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar bagaimanapun mengesahkan tidak ada lagi tangkapan susulan selepas ini.

Katanya, tangkapan tiga individu itu merupakan mesej jelas bahawa semua pihak termasuk ahli politik, organisasi atau individu tertakluk kepada undang-undang negara.

“Kita mempunyai bukti-bukti kukuh sekiranya polemik terbuka ini tidak ditangani, ia akan mengancam keselamatan negara.

“Oleh itu, ingin saya tekankan kita akan ambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang mencetuskan polemik perkauman dan mengancam keselamatan negara,” katanya pada sidang akhbar khas di Bukit Aman di sini petang ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Semalam, tiga orang ditahan di bawah ISA dalam satu operasi polis ke atas beberapa individu yang terbabit mencetuskan isu perkauman dan persengketaan agama.

Mereka ialah Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teresa Kok; pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin dan wartawan wanita Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng.

Mereka ditahan mengikut Seksyen 73 (1) akta berkenaan. Bagaimanapun Hoon Cheng dibebaskan di Pulau Pinang pada pukul 3.30 petang ini.

Mengikut peruntukan itu, mereka boleh ditahan sehingga 60 hari tanpa perbicaraan sebelum Menteri Dalam Negeri membuat keputusan sama ada penahanan itu perlu dilanjutkan.

Syed Hamid berkata, tindakan ISA itu diambil di bawah bidang kuasa polis mengikut keperluan siasatan yang dijalankan.

“Siasatan (dilakukan) tanpa merujuk kepada saya, tetapi saya dimaklumkan mengenai (penahanan) itu,” katanya sambil menafikan akan ada tangkapan susulan selepas ini.

Beliau turut membidas dakwaan pihak tertentu yang cuba mengaitkan tangkapan itu dengan tarikh rancangan pembentukan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 16 September.

“Tak ada kena mengena, apa yang menjadi keutamaan kita adalah menerima maklumat tentang kebimbangan rakyat mengenai ancaman keselamatan,” katanya.

Beliau berkata, sebagai sebuah negara berbilang kaum, budaya dan agama, tindakan tegas seperti itu perlu supaya ketenteraman awam terpelihara.

Syed Hamid turut menegaskan pelbagai peluang, nasihat dan amaran telah diberikan terhadap Raja Petra tetapi penulis blog tersebut terus mencetuskan ketegangan dalam penulisannya.

Tambahnya, Teresa pula membangkitkan isu sensitif apabila mempersoalkan laungan azan di masjid-masjid di sebelah pagi yang juga menimbulkan kemarahan umat Islam.

“Oleh itu, pada saya adalah penting untuk semua pihak supaya tidak membangkitkan isu seperti agama yang akan sebabkan konflik terbuka,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menafikan tiada tindakan diambil terhadap Datuk Ahmad Ismail kerana Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera itu telah menerima akibat digantung keahlian parti selama tiga tahun.

“Sebagai ahli parti dia (Ahmad) telah menerima hukuman tetapi polis masih teruskan siasatan kerana ada laporan hasutan terhadapnya,” ujar beliau.

Mengenai Hoon Cheng, beliau berkata, wartawan itu telah memberikan kerjasama baik dan oleh itu dibebaskan kira-kira pukul 3.30 petang ini, setelah polis mempunyai maklumat yang mencukupi.

“Dia (Hoon Cheng) yang membuat laporan dan sebabkan perdebatan terbuka dan oleh itu kita perlu dapatkan maklumat secara langsung daripadanya,” katanya.

Ditanya mengapa polis mengambil tindakan ISA terhadap Hoon Cheng dan bukan memanggilnya untuk diambil keterangan, katanya, ini kerana ia mempunyai kaitan dengan isu ketenteraman awam.

“Apa yang penting, dia dibebaskan tidak sampai sehari setelah polis berpuas hati dengan siasatan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, dua lagi tahanan itu juga akan dibebaskan sekiranya polis berpuas hati terhadap siasatan yang dijalankan

MY EXPRESSION :ISA : WE NEED or/and DON'T NEED........

No comments: